KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh sewenang-wenang
menurunkan harga petrol RON95 walaupun harga minyak mentah menurun di
pasaran dunia, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata
kerajaan perlu melakukan kajian sebelum mengambil keputusan untuk
menurunkan harga minyak petrol RON95 kerana ia merupakan bahan bakar
bersubsidi.
“Penurunan harga minyak petrol RON95 adalah tertakluk
kepada penurunan harga minyak di dunia. Namun, kerajaan hanya dapat
melaksanakan penurunan harga minyak RON95 sekiranya tanggungan subsidi
oleh kerajaan mencapai tahap kosong,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Francais Antarabangsa Malaysia 2012 (FIM2012) di Pusat
Dagangan Dunia Putra di sini Jumaat.
Harga petrol RON95 dijual pada RM1.90 seliter selepas subsidi kerajaan sebanyak 53 sen seliter.
Ismail Sabri berkata sehingga kini, kerajaan menanggung subsidi untuk RON95 sebanyak RM6.6 bilion.
Katanya,
kerajaan mampu menurunkan harga petrol RON97 susulan penurunan harga
minyak mentah dunia kerana harga RON97 tidak disubsidi tetapi ditetapkan
secara apungan terkawal di mana harga bulanannya akan diubah mengikut
harga pasaran dunia.
“Saya harap rakyat faham bahawa harga RON97 turun tidak bermakna harga RON95 juga turun,” katanya.
Harga jualan runcit petrol RON97 diturunkan sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.60 seliter, berkuat kuasa 5 Julai.
Mengulas
mengenai janji Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
mengurangkan minyak petroleum sekiranya pembangkang menawan Putrajaya,
Ismail Sabri berkata: “Dia boleh janji apa saja. Jadi, janji memang
senang, dan janji cakap semua percuma pun boleh”. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment