Friday, June 22, 2012

"Mael Lambong"

Rating filem ( 5 Bintang )
Keseluruhan: 3 bintang
Pelakon: 3.5 bintang
Plot: 2.5 bintang
Efek: 2.5 bintang
Sinematografi: 3 bintang
Filem yang diarah oleh Ahmad Idham ini berkisar tentang seorang penarik kereta bernama Mael Lambong (Zizan Razak), yang mana hidupnya berubah menjadi kalut apabila Maria (Juliana Evans) secara tiba-tiba meminta tolong melarikan diri dari para antagonis cerita. Ini kerana Maria memiliki sebuah mikrocip yang mengandungi maklumat sensitif tentang tawaran projek kerajaan. Larian mereka akhirnya membawa mereka berdua ke sebuah kampung di Terengganu, yang secara kebetulan merupakan kampung halaman Mael yang telah lima tahun ditinggalkannya disebabkan kisah lampaunya.
Idea filem ini bukanlah sesuatu yang baru dan pengulas akui bahawa filem ini mengandungi beberapa unsur cliché, tidak kiralah sama ada dari segi ungkapan perbualan mahupun jalan cerita. Adegan dan ayat-ayat cinta yang wujud dalam filem memang serupa saja dengan filem tempatan yang lain, seperti yang dilihat dalam babak ‘perbualan hati’ di antara Mael dan Rozi (Shenthy Feliziana). Pengakhiran filem juga berada dalam jangkaan penonton tetapi pengulas tidak perlulah berpanjang lebar lagi.

Dari segi efek khas, memang tiada yang luar biasa dalam filem ini jadi anda tidak payahlah mengharapkan aksi ‘drifting’ Mael Lambong ala-ala “Tokyo Drift”. Di samping itu, pengulas turut berasa sedikit terganggu dengan ‘parut’ di muka Mael yang memang ketara palsu dan berharap jurusolek menggunakan teknik yang lebih elok demi menghidupkan watak bagi filem akan datang. 

Namun, apa yang membuatkan filem ini sedikit ‘up’ berbanding dengan filem tempatan yang lain adalah kombinasi barisan pelakon yang memainkan watak-watak dengan baik sekali (walaupun terdapat beberapa aksi yang sedikit ‘over’) sehingga berjaya mendapatkan reaksi baik penonton. Kredit tambahan harus diberikan kepada Zizan Razak kerana mampu mengimprovisasi watak Mael Lambong di samping mengeluarkan kata-kata tajam yang memang kena dengan waktu dan situasi. Tidak lupa juga Juliana Evans yang berjaya keluar dari stereotaip pelakon wanita cantik yang selalunya memegang watak gedik atau kaku di layar perak, dengan watak Maria yang tegas dan pandai melawan. 

Mungkin filem ini memang mencerminkan budaya masyarakat yang sememangnya suka menjaga tepi kain orang? Terpulanglah. 

Yang pasti, filem “Mael Lambong” bukanlah sebuah tin kosong yang hanya mengandungi lawak ‘slapstick’ yang kurang cerdik. Ia bukan sahaja sesuai untuk semua golongan umur, malah lebih sesuai untuk para peminat satira yang gemarkan ayat-ayat pedas.
P/s : Tunggu kemunculan movie ini dengan penuh kesabaran... ^_^

No comments:

Post a Comment